Tentang Penyakitku

Aku memang suka menulis tentang kehidupanku. Tentang suka duka perjalanan hidupku sebelum dan selepas menjadi OKU. Sekali lagi aku nyatakan, bukan niatku meraih simpati mahupun mencari publisiti. Aku menulis bukan kerana nama…itu lirik lagu Ramli Sarip. Aku menulis sekadar untuk berkongsi cerita, berkongi rasa suka dan derita jua menggurangkan tekanan perasaan.

Aku kerap menghantar tulisanku dan ceritaku di grup Relaxjap (RJ) sekadar mengisi waktu yang terluang. Di RJ aku mengenal dan mendapat rakan-rakan baru menggantikan rakan-rakan lamaku yang hilang meninggalkan aku. Itulah nasib insan-insan sepertiku setelah bergelar OKU. Memang terasa berat memikul gelaran ini lebih-lebih lagi bagi insan yang pernah mengecapi hidup sebagai insan normal.

Beberapa hari ini setelah ceritaku di keluarkan di RJ, aku menerima beberapa e-mail dari rakan-rakan RJ yang ingin tahu tentang penyakitku juga bertanya khabar. Kebanyakannya menyangka aku menghidap atau di serang penyakit ‘Stroke’. Ada yang mengesyorkan aku berbagai kaedah perubatan, terima kasih di atas keperhatian kalian semua.Aku amat-amat hargainya.

Untuk pengetahuan teman-teman, sekali lagi aku ingin menerangkan tentang penyakitku agar terlerai segala persoalan. Bulan Jun’ 2002 tarikh keramat buatku, aku di serang demam denggi berdarah dan koma hampir dua minggu. Di rawat di ICU selama 46 hari, bergantung hidup dengan bantuan oksigen (Ventilator). Selama enam bulan di rawat di hospital dan di benarkan pulang dengan kerusi roda.

Akibat demam denggi sistem saraf-sarafku rosak teruk mengalahkan orang kemalangan jalanraya dan mengalahkan orang jatuh dari bangunan. Itu sudah bahagianku di dunia ini, terima dan redha sajalah….ada hikmah di sebaliknya.

Sistem saraf di badan kita. C1 merupakan paras kecederaan yang paling tinggi sekali. Aku C2…huwawa.

Aku di sahkan oleh doktor mendapat kecederaan saraf tunjang (Spinal Cord Injury – SCI). Kececederaanku di paras yang agak tinggi C2, C3, C4 hinggakan T5, panjang betul kecederaanku (C- cervical, T- thoracic). Aku di beritahu oleh doktor, mengikut kaedah perubatan moden penyakitku ini tiada ubatnya tapi aku yakin satu hari nanti InsyaAllah akan ada penawarnya,

Alhamdullilah…aku bernasib baik, pada kebiasaannya seseorang yang mendapat kecederaan dari paras C1 hingga C4 terpaksa bergantung hidup dengan bantuan oksigen (Ventilator). Aku cuma menggunakan oksigen selama 46 hari sahaja. Bintang filem ‘Superman’ Christhoper Reeves yang juga mendapat SCI terpaksa bergantung hidup dengan oksigen sepanjang hayatnya. Beliau meninggal dunia setelah 9 tahun menanggung penderitaan akibat SCI. Aku entah bila? jangan tanya, ajal maut di tangan Allah, bukan kerja kita.

Kedudukan saraf tunjang (warna kuning) di kelilingi disk tulang belakang.

Mengikut penerangan doktor dan dari pembacaanku, SCI mengakibatkan otak gagal menerima dan memproses segala arahan yang di sampaikan oleh bahagian-bahagian saraf yang rosak dan mengakibatkan anggota-anggota badan tidak berfungsi.Aku hilang deria rasa dan kebas dari paras dada hingga ke kaki. Aku hanya mampu menggerakan sedikit tangan dan jari-jari. Hanya dengan menggunakan satu jari aku menekan papan kekunci (keyboard) untuk mencari satu huruf. Dari satu huruf aku jadikan satu perkataan, dari satu perkataan aku jadikan sebaris ayat hinggalah ia menjadi sebuah cerita. Aku tidak mampu untuk duduk sendiri dan sepanjang usia terlantar di atas katil. Dari atas katil inilah aku menekan papan kekunci (keyboard) menulis dan bercerita.Bukan mudah insan sepertiku untuk menaip dan bercerita hanya dengan menggunakan satu jari. Setiap komen dan teguran di blogku dari kalian merupakan satu suntikan semangat buatku untuk terus menulis dan bercerita. Jadi di samping membaca ceritaku, suntikanlah semangat kepadaku, komen dan tegurlah aku….

Aku seperti seorang bayi yang baru lahir, segala-galanya perlukan bantuan. Makan dan minum perlu disuapkan hatta untuk membersihkan diri sendiri pun aku tidak mampu. Aku bersyukur kepada Allah punya isteri punya anak yang setia membantu.

Leave a Reply