Siapa Kassim Selamat

Aku lebih senang di kenali sebagai Kassim Selamat @lagendabuta, wajahku tidaklah setampannya, hanya menumpang namanya. Aku di lahirkan sebagai insan normal, ketika usiaku menjenguk ke angka 40, musibah singgah menyapa diriku, aku lumpuh dari paras dada ke bawah akibat demam denggi pada 20 Jun’ 2002, dari saat itulah aku mula menyarung jersi orang kurang upaya (OKU).
‘Life Begin at Fourty’ itulah kehidupan dan dunia baruku sebagai OKU, memang berat bagiku mengharungi kehidupan baruku ini, secara tiba-tiba fizikal, mental dan rutin seharian kehidupanku berubah sama sekali, ibaratkan taufan ‘tsunami ‘ yang melanda pantai…..sekelip mata kehidupanku berubah………..terkejut, terkedu, tiada persiapan yang ku buat, tiada ku sangka begini rupanya penghujung hidupku. Meskipun begitu aku tetap bersyukur ke hadrat Allah kerana memberiku peluang untuk terus bernafas di dunia ini.

Kisah-kisah yang terpapar di sini adalah rentetan-rentetan hidupku di zaman kanak-kanak, remaja, dewasa dan di usia ’senja’ ini. Bukanlah tujuanku untuk meraih simpati, membangga diri apatah lagi mengaibkan sesiapa. Kisah-kisah ini adalah realiti kehidupanku. Bukan untuk mengeluh atau tidak redha atas apa yang menimpaku tetapi sekadar untuk berkongsi cerita dan pengalaman.

Memang telah lama aku ingin mengabadikan kisah kehidupanku ini, tapi baru saat ini ‘jariku’ mampu untuk menzahirkannya, jika ada yang baik boleh di jadikan tauladan dan yang buruk jadikan sempadan. Klik untuk tahu tentang Penyakitku

Salam hormat dariku…

Kassim Selamat “Jasad Terpenjara Jiwa Merdeka
@lagendabuta

Leave a Reply